Selasa, 21 Ogos 2007

MENJUAL TANAH MASJID

Soalan; Adakah harus menjual tapak masjid lama yang tidak digunakan lagi kerana masjid baru telah dibina bersebelahannya di atas sebidang tanah lain yang lebih luas, kemudian wang hasil jualan itu digunakan untuk kepentingan masjid atau aktiviti-aktiviti lain yang baik?

Jawapan;

Soalan tersebut pernah ditanya kepada Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail –salah seorang ulamak al-Azhar-, lalu ia menjawab;

“Ya, harus menjual tanah tersebut dan menggunakan hasil jualannya bagi melaksanakan sebarang program atau aktiviti yang baik seperti memasang karpet baru bagi masjid yang baru dibina, membina madrasah tahfiz al-Quran atau yang seumpamanya. Dan orang yang membeli tanah tersebut harus menggunakan tanah itu untuk membina rumah, sekolah atau sebarang manfaat lain yang dikehendakinya yang diizinkan oleh Syarak. Namun yang lebih utama ialah menjualnya kepada orang yang berhasrat membina sekolah/madrasah, ma’had atau kemudahan-kemudahan awam yang lain yang memberi manfaat kepada orang ramai dalam urusan-urusan kebaikan dan ketakwaan”.

Rujukan;

1. Baina as-Sa-il wa al-Faqih, Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail, halaman 93-94.

Ahad, 5 Ogos 2007

SOLAT JUMAAT TANPA MENDENGAR KHUTBAH

Soalan; Kita selalu perhatikan ada ramai di kalangan lelaki muslim hari ini menghadiri solat jumaat tanpa mendengar khutbah terlebih dahulu, yakni mereka datang lewat –sama ada sengaja atau kerana suatu urusan- dan tidak sempat mendengar khutbah. Apa hukumnya? Adakah solat jumaat mereka sah?

Jawapan;

Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika bilangan yang hadir mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka orang yang datang lewat –tanpa mendengar khutbah- sah solat jumaatnya tetapi mereka terlepas fadhilat mendengar khutbah yang amat besar pahalanya. Namun jika orang-orang yang hadir lewat itu menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang dari 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar”.

Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Orang yang tidak datang ke masjid melainkan selepas khatib selesai khutbah, Allah tidak menerima solatnya dan tidak diberi pahala, kecuali jika terpaksa. Namun demikian, jika dia menunaikan solat jumaat bersama imam, gugur kefardhuan jumaat darinya dan tidak perlu lagi dia menunaikan solat zohor. Banyak kes di mana solat adalah sah, namun tidak diterima. Setiap solat yang diterima adalah sah, namun tidak semua solat yang sah adalah diterima”.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 34-35.
2. Baina as-Sa-il wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakar Ismail, hlm. 20.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...