Isnin, 29 Oktober 2007

KRISTIAN

Soalan;

1. Kenapa terlalu sedikit maklumat tentang Nabi Isa dan Nabi Musa yang diketahui oleh umat Islam dibanding dengan orang Kristian. Kurangnya pengetahuan tentang dua watak utama ini adakalanya boleh dijadikan kelemahan umat Islam yang akan diputar-belitkan oleh pihak lain yang ingin menyesatkan umat Islam sendiri. Oleh itu, saya berharap saudara dapat mencadangkan kiranya ada kitab yang ditulis oleh ulamak kita sendiri yang boleh saya jadikan sumber rujukan untuk menambah pengetahuan saya tentang Nabi Isa a.s. dan Nabi Musa a.s. sebagai antara 25 rasul utama.

2. Bagaimana rupa bentuk kitab Injil dan kitab Taurat yang asal dan apakah isi kandungannya mengikut perspektif Islam?

Dari;
Nur, Kota Kinabalu, Sabah.

Jawapan;

Bismillahirrahmanirrahim.

1. Untuk dijadikan sebagai Aqidah memadai dengan apa yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang soheh. Inilah yang menjadi pegangan para ulamak Islam dari dulu hingga sekarang. Al-Quran dan as-Sunnah yang as-Soheh tidak membentangkan sebarang maklumat tentang suatu peristiwa, kisah atau tokoh melainkan semuanya adalah benar dan dapat diyakini. Adapun cerita-cerita dari Ahli Kitab (yakni pendita-pendita Yahudi atau Nasrani) atau Israeliyat, banyak darinya yang ditokok-tambah dan boleh diragui kesahehannya. Jika mereka berani mengubah kitab Allah, tidak mustahil mereka juga berani mengubah fakta dan maklumat tentang para Nabi. Contoh paling nyata; Nabi Isa yang asalnya hamba Allah, oleh orang pendita-pendita Kristian dinaik-taraf menjadi anak Allah sehingga diterima hari ini oleh sekelian penganut Kristian yang jumlahnya ribuan juta orang. Kerana bimbang penyelewengan dan cerita-cerita palsu seperti itu akan masuk ke dalam pemikiran umat Islam maka ulamak-ulamak Islam tidak menjadikan buku-buku atau cerita-cerita dari pendita Yahudi dan Kristien sebagai sumber atau rujukan untuk mengenai Nabi-Nabi terdahulu –termasuklah tentang Nabi Musa dan Isa- walaupun tidak dapat dinafikan bahawa banyak maklumat tentang Nabi-Nabi terdahulu ada pada mereka sebagaimana yang saudara sebutkan. Harus untuk kita membuat kajian lebih lanjut tentang Nabi-Nabi terdahulu, tetapi sumbernya hendaklah dipastikan terlebih dahulu kesahehan atau kebenaranya sebagaimana kaedah yang ditetapkan oleh ulamak dalam membuat kajian; “Pendakwaan hendaklah dengan bukti, pemindahan cerita pula hendaklah dengan kepastian”. Oleh demikian, langkah yang lebih selamat ialah berpada dengan apa yang diceritakan oleh al-Quran dan as-Sunnah yang soheh dan kita menumpukan kajian kita kepada apa yang menjadi focus al-Quran iaitu mendedahkan penyelewengan Ahli Kitab (golongan Yahudi dan Nasara) dalam Aqidah dan penafian terhadap Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Di antara buku/kitab yang boleh menjadi rujukan saudara dalam mendapatkan maklumat yang benar –berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah- berkenaan kisah Nabi Isa dan Musa ialah;

a) Buku-buku berkenaan kisah-kisah para Nabi yang ditulis oleh ulamak Islam, antaranya; 1. Qisas al-Anbiyak, Syeikh Hasan Ayyub, 2. Qisas al-Anbiyak, Imam Ibnu Kathir.

b) Agama Mesehi dan Agama Yahudi (Dua buku yang berasingan tulisan Dr. Ahmad Syalaby, terbitan Pustaka Nasional Singapura). Dalam buku ini penulis ada membentangkan tentang Nabi Isa (al-Masih) mengikut pandangan orang Islam, orang Yahudi, orang Barat dan orang Kristian sendiri.

c) al-Mukhtasar Fi Akhbar al-Basyar, Abu al-Fida’. (Sebuah kitab yang menceritakan tentang susur-galur keturunan dan kisah para Nabi).

2. Jika kita perhatikan penekanan al-Quran semasa membentangkan tentang Ahli Kitab (golongan Yahudi dan Nasara), ia berlegar di sekitar persoalan-persoalan berikut;

a) Mendedahkan penyelewengan Aqidah mereka
b) Mendedahkan perbuatan mereka meminda kitab-kitab Allah (Taurat dan Injil)
c) Mendedahkan perbuatan mereka yang banyak melakukan Bid’ah (rekaan-rekaan) terhadap agama Allah
d) Penafian mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w..

Dengan mengambil pendekatan al-Quran, para ulamak Islam dari dulu hingga kini menjadikan persoalan-persoalan tersebut sebagai tajuk-tajuk perbincangan dan perdebatan dalam berdepan dengan orang-orang Kristian termasuklah paderi-paderi mereka. Ulamak-ulamak Islam tidak berdebat atau berbincang tentang kewujudan Nabi Isa atau kerasulannya kerana hakikat tersebut telah diakui oleh semua penganut agama Sawami termasuklah Islam. Persoalan utama yang diperlu dibincang atau diperdebatkan; Adakah ajaran agama Kristian hari ini benar-benar ajaran Nabi Isa? Adakah kitab Injil yang ada hari ini benar-benar asli tanpa tokok tambah? Dan benarkah tidak ada Bisyarah (perkhabaran) dari Nabi Isa tentang kedatangan Nabi Muhammad?

Sepatutnya umat Islam didedahkan dengan terperinci tentang perkara-perkara tersebut kerana ia menjadi focus di dalam al-Quran. Namun kita mendapati inilah antara titik-titik kepincangan dalam pengajian aqidah yang berjalan hari ini. Kita mempelajari aqidah Islam tanpa membandingkannya dengan aqidah-aqidah lain –khususnya Yahudi dan Kristian- sebagaimana pendekatan yang dibawa oleh al-Quran. Kita memahami aqidah Islam tetapi kita tidak mampu berdepan dengan penganut-penganut agama lain kerana kita tidak mengetahui aqidah dan agama mereka.

3. Di antara buku-buku yang pernah saya baca dan saya rasakan amat baik menjadi rujukan umat Islam dalam perbandingan agama –khusus yang berkait dengan Yahudi dan Kristian- ialah;

a) Tulisan-tulisan Ahmad Deedat, antaranya “The Choice, volume 1 & 2” (Telah diterjemahkan oleh Jasmin Enterprise (2004) di bawah tajuk “Debat Islam dan Kristian; jilid 1 dab 2, tebal; 418 muka surat). Bagi yang menguasai bahasa Inggeris bolehlah mengikuti CD ceramah dan perdebatan beliau yang banyak dijual di pasaran.

b) Siri-Siri Penbandingan Agama oleh Dr. Ahmad Shalaby (terbitan Pustaka Nasional, Singapura) merangkumi;
1. AGAMA MASEHI
2. AGAMA YAHUDI
3. AGAMA-AGAMA BESAR DI INDIA
4. AGAMA ISLAM

c) Rehlah al-Insan Ma’a al-Adyan (Pengembaraan Manusia Bersama Agama-Agama), Dr. Abdur-Rahman Nuruddin.

4. Mengenai kandungan kitab Taurat dan Injil, Allah Taala sendiri melalui al-Quran telah mendedahkan bahawa kedua-dua kitab tersebut telah mengalami pindaan, pengurangan dan penambahan oleh tangan-tangan pendita Yahudi dan Nasara. Boleh rujuk; al-Baqarah: 75, Ali Imran: 78, an-Nisa’: 46, al-Maidah: 14,

Muhammad Farid Wajdi (seorang ilmuan Mesir) pernah menyebutkan; ‘Di antara bukti berlakunya pemindaan yang dapat dirasai (pada kitab Taurat) ialah Taurat yang berlegar hari ini di kalangan orang Nasrani berbeza dengan Taurat yang berlegar di kalangan orang Yahudi’. Kitab Injil pula, bukti yang terang bagi penyelewengan yang berlaku padanya ialah apabila di kalangan penganut Nasrani sendiri hari ini terdapat empat jenis Injil yang berbeza antara satu sama lain. (Lihat al-‘Aqaid al-Islamiyyah, Syeikh Sayyid Sabiq, hlm. 145 & 146)

Dr. Bakar Zaki ‘Iwadh (Pensyarah perbandingan agama Universiti Kaherah, Mesir) dalam kitabnya Muhadharat fi al-Milal wa an-Nihal; “Injil-Injil yang ada pada penganut Kristian hari ini adalah yang terpilih dari ratusan injil yang direkodkan dalam tempoh-masa yang tidak kurang dari 325 tahun (ada pendapat menyebutkan 430 tahun). Injil yang paling awal direkodkan ialah 30 tahun selepas peristiwa Nabi Isa disalib oleh seorang yang tidak diketahui asal-usulnya….Telah banyak kajian-kajian kritikan telah ditulis terhadap Injil-Injil tersebut di mana ke semuanya berlegar pada persoalan berikut;
1. Ketidakpastian para penulisnya.
2. Ketidakpastian zaman ia ditulis.
3. Ketidakpastian bahasa asalnya.
4. Ketidakpastian penterjemahnya.
5. Ketidakpastian zaman berlaku penterjemahannya.
6. Pertentangan yang berlaku antara nas-nas di dalam Injil yang sama dan di antara satu Injil dengan Injil-Injil yang lain (dari segi jumlah nas dan isi kandungannya.
7. Nabi Isa a.s. hanya diwahyukan satu Injil sahaja, akan tetapi Injil yang ada di tangan penganut Kristian hari ini ada empat (iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yuhana/Yahya).
(Lihat; halaman 58-59).

Mengenai kitab Taurat pula, beliau mengebutkan; di kalangan kelompok Kristian sendiri ada yang golongan yang tidak mempercayai kehujahan Perjanjian lama (Taurat) yang ada sekarang, malah di kalangan penganut Kristian (yang menerimanya) sesama mereka berlaku perbezaan dalam jumlah dan isi kandungan teks Taurat itu”. (Lihat; nota kaki kitab tersebut, no. 36, hlm. 57). Beliau juga menyebutkan dalam halaman 28; “Kitab Perjanjian Lama (Taurat) yang ada hari ini telah ditujukan kepadanya pelbagai kritikan dari bijak-pandai Yahudi sendiri dan juga dari orang-orang Islam yang melakukan kajian-kajian perbandingan. Bagi seorang muslim memadailah (sebagai hujjah baginya) dengan al-Quran telah menunjukkan bahawa telah berlaku tahrif (yakni penyelewengan/pemalsuan) di dalam kitab tersebut dan bahawa tangan-tangan Yahudi telah melakukan penambahan dan pengurangan padanya di mana perkara yang mendorong mereka melakukan demikian ialah habuan kebendaan di samping kejahilan masyarakat awam Yahudi terhadap perlakuan golongan pendeta dan ahli agama mereka”.

Dr. Maurice Bucaile dalam bukunya “Bible, Quran & Sains Moden” menjelaskan bahawa tidak ada Injil yang ditulis pada waktu Nabi Isa masih hidup. Semuanya ditulis lama sesudah beliau meninggal. Bagi al-Quran, keadaannya berlainan. Teks al-Quran dihafal oleh Nabi dan para sahabatnya langsung setelah wahyu diterima dan ditulis oleh beberapa sahabat baginda yang ditentukan. Jadi, dari permulaan, al-Quran mempunyai dua unsur ketulenan (authenticity) tersebut yang tidak dimiliki Injil. Hal ini berterusan sampai wafatnya Nabi Muhammad. Penghafalan al-Quran pada zaman manusia sedikit sekali yang dapat menulis, memberikan kelebihan jaminan yang sangat besar pada waktu pembukuan al-Quran secara definitif (muktamad) dan disertai beberapa regu untuk mengawasi pembukuan tersebut” (lihat halaman 143). Menurut beliau lagi, sejak dari mula diturunkan al-Quran telah dipelihara secara sangat ketat. Al-Quran tidak mengandungi problem tentang autentik atau tidak autentik (halaman 292).

Dilihat dari perspektif sains moden pula, beliau mengulaskan; “Quran yang diwahyukan sesudah kedua kitab suci sebelumnya, bukan sahaja bebas dari kontradiksi dalam riwayat-riwayatnya, kontradiksi yang menjadi ciri Injil-Injil kerana disusun oleh manusia tetapi juga menyajikan kepada orang yang mempelajarinya secara objektif dengan mengambil petunjuk dari sains moden, suatu sifat yang khusus, yakni persesuaian yang sempurna dengan hasil sains moden. Lebih dari itu semua, sebagai yang sudah kita buktikan, al-Quran mengandungi pernyataan ilmiah yang sangat moden yang tidak masuk akal jika dikatakan bahawa orang yang hidup pada waktu al-Quran diwahyukan adalah pencetus-pencetusnya. Dengan begitu, maka pengetahuan ilmiah moden memungkinkan kita memahami ayat-ayat tertentu dalam al-Quran yang sampai sekarang tidak dapat ditafsirkan. Perbandingan beberapa riwayat Bible dengan riwayat al-Quran tentang hal yang sama menunjukkan adanya perbezaan fundamental antara pernyataan Bible yang tak dapat diterima secara ilmiah dengan pernyataan al-Quran yang sesuai sepenuhnya dengan sains moden, umpamanya tentang penciptaan dan tentang banjir Nabi Nuh seperti yang sudah kita lihat. Mengenai Exodus Musa kita dapatkan di dalam al-Quran suatu tambahan yang berharga kepada riwayat Perjanjian Lama. Tambahan itu seluruhnya sesuai dengan hasil-hasil penyelidikan Arkeologi yang menunjukkan bila bila kejadian-kejadian dalam sejarah Musa itu terjadi. Perbezaan sangat penting antara al-Quran dan Bible dalam soal-soal lain adalah pertentangan dengan anggapan bahawa Muhammad menciplak suatu copy Bible untuk menulis al-Quran, semua itu tanpa bukti…”. (halaman 292-293)

Oleh kerana al-Quran sahaja kitab yang bersih dari sebarang pindaan, penyelewengan dan tokok-tambah dari manusia, maka dialah satu-satunya kitab yang menjadi rujukan bagi manusia hari ini untuk sampai kepada kebenaran. Hanya dengan berpegang dan berpandukan al-Quran manusia akan menemui ajaran-ajaran yang benar dari Allah. Ini ditegaskan Allah dalam firmanNya:

قَدْ جَاءَكُمْ مِنْ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ، يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنْ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (al-Maidah: 15-16)

Wallahu A’lam.

Rabu, 24 Oktober 2007

BENARKAH TIDAK DITERIMA RAMADHAN TANPA PUASA 6HARI BULAN SYAWAL

Soalan : Adakah benar jika seseorang itu tidak berpuasa enam selepas berpuasa ramadhan maka itu menunjukkan bahawa puasa ramadhannya tidak diterima ALLAH ?

Jawapan ;

Bismillahirrahmanirrahim

Puasa 6 hari di bulan Syawal adalah sunat berdasarkan hadis sohih dari Nabi Muhammad SAW.

“ Satu amalan sunat jika dilakukan adalah diberikan pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa.”

Oleh demikian, tidak benarlah apa yang saudara sebutkan itu memandangkan puasa 6 hari bulan Syawal hanya sunat sahaja dan tidak menjejaskan puasa Ramadhan yang dilakukan sekiranya puasa 6 hari itu tidak dikerjakan.

Apa yang boleh menjejaskan puasa Ramadhan ialah perkara-perkara yang kita lakukan semasa di bulan Ramadhan, di antaranya melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa atau tidak menajaga puasa dari sudut akhlak dan penghayatan.

Wallahualam.

Selasa, 23 Oktober 2007

BERJUAL-BELI, TIDUR, MAKAN DAN BERAKAD NIKAH DI DALAM MASJID

Soalan; Adakah menjual barang di dalam masjid haram keseluruhannya? Bagaimana dengan menjual buku agama? Adakah harus tidur dan makan di dalam masjid? Bagaimana pula berakad nikah?

Jawapan;

Terdapat hadis menegaskan;

أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم نَهَى عَنِ الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ فِي الْمَسْجِدِ وَأَنْ تُنْشَدَ فِيْهِ ضَالَّةٌ، وَأَنْ يُنْشَدَ فِيْهِ شِعْرٌ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menegah dari berjual-beli di dalam masjid, mencari barang hilang di dalamnya dan mendendangkan syair di dalamnya”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya yang meriwayat dari datuknya. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini hasan).

Hadis di atas menunjukkan bahawa berjual-beli di dalam masjid adalah dilarang. Dalam masalah ini, ulamak-ulamak mazhab Hanbali paling tegas di mana menurut pandangan mereka; “Diharamkan sama sekali berjual-beli di dalam masjid dan jika berlaku maka jual-beli itu adalah batal”. Menurut pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Haram berjual-beli di masjid jika membawa kepada merosakkan kemuliaan masjid atau mengganggu orang yang mengerjakan solat. Jika tidak sampai kepada merosakkan kehormatan masjid atau mengganggu orang yang sembahyang, hukumnya adalah makruh kecuali jika ada keperluan, maka hukumnya harus”. Ulamak-ulamak mazhab Hanafi mengharuskan berjual-beli di masjid jika sedikit. Adapun jika jual-beli itu banyak sehingga merubah masjid menjadi ibarat pasar, amatlah dimakruhkan.

Dalam mengupas persoalan ini, Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail (salah seorang ulamak al-Azhar) menegaskan pandangannya; “Yang paling benarnya ialah; diharamkan sama sekali berjual-beli di dalam masjid jika banyak dan dimakruhkan jika sedikit, kecuali jika ada keperluan seperti menjual buku-buku agama, alat-alat tulis dan seumpamanya dan disediakan tempat khas untuknya”. (Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail)

Tidur di dalam masjid adalah harus dengan syarat tidak mendatangkan gangguan kepada orang yang beribadah di masjid. Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Tidak dimakruhkan tidur di dalam masjid kecuali jika dikhuatiri mendatangkan gangguan kepada masjid seperti orang yang tidur itu dari jenis orang yang berdengkur dengan kuat”. Ulamak-ulamak mazhab Hanafi mensyaratkan dengan niat iktikaf. Orang yang tidur di dalam masjid tanpa berniat iktikaf hukumnya adalah makruh.

Diharuskan makan di dalam masjid dengan syarat tidak mengotorkan masjid seperti membuang sisa-sisa makanan dan tulang di masjid atau sebagainya. Begitu juga, disyaratkan makanan yang dimakan itu bukan dari jenis yang mempunyai bau yang mengganggu orang ramai atau tidak disukai mereka.

Adapun melakukan akad nikah di dalam masjid hukumnya adalah harus, malah menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Malik dan Hanbali; disunatkkan menjalankan akad nikah di dalam masjid. Sebaik-baiknya orang yang hendak berakad nikah di dalam masjid itu berniat iktikaf terlebih dahulu.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 44.
2. al-Fiqh ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, jil. 1, hlm. 258-260.

Khamis, 11 Oktober 2007

MENGHIMPUNKAN NIAT PUASA ENAM DENGAN PUASA QADHA

Soalan; Adakah harus menghimpunkan niat puasa enam hari di bulan Syawal dengan puasa Qadha’ iaitu satu puasa untuk dua niat/tujuan?

Jawapan;

Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu menunaikan puasa qadha yang tertanggung atasnya terlebih dahulu (kerana berbuka pada bulan Ramadhan), kemudian baru dia berpuasa enam, itulah yang paling baik (afdhal) kerana Rasulullah SAW bersabda;

دَيْنُ اللهُ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَىَ
“Hutang dengan Allah lebih utama untuk ditunaikan” (HR Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas RA).

Boleh juga menghitung puasa enam itu bersama dengan puasa qadha yang dilakukan dalam syawal itu mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafiie[1]. Namun yang paling baik ialah mengasingkan kedua-duanya (yakni dilakukan berasingan) untuk mengelak pertikaian dari mazhab-mazhab lain, di samping dapat memperbanyakkan amal soleh.

Dan dibolehkan juga baginya untuk mendahulukan puasa enam dalam bulan syawal dan menangguhkan puasa qadha ke bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadhan yang baru”.

[1] Lihat dalam al-Majmu’, 3/235.

Jawapan berkaitan; NIAT SEKALI; PUASA QADHA DAN PUASA ENAM

Wallhu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 99.
2. Rujuk juga; Fatawa Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 2/22-23.

Sabtu, 6 Oktober 2007

FIDYAH PUASA

Soalan; Siapakah yang wajib mengeluarkan fidyah puasa? Bagaimana cara mengeluarkannya?

Jawapan;

Fidyah puasa bermaksud mengeluarkan kadar tertentu dari makanan asasi setempat bagi setiap hari yang ditinggalkan dari puasa bulan Ramadhan dan diberikan kepada orang miskin. Kewajipan fidyah puasa ini berdasarkan firman Allah;

“…Dan wajib ke atas orang-orang yang payah/sukar mengerjakan puasa (kerana tua, sakit yang tiada kemungkinan sembuh dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan puasanya)…”. (al-Baqarah: 184)

Orang-orang yang dituntut membayar fidyah puasa ialah;

1. Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit yang tiada harapan sembuh
2. Orang tua yang tiada lagi kemampuan/daya untuk berpuasa.
3. Wanita hamil yang berbuka puasa kerana bimbangkan kandungannya.
4. Wanita menyusu yang berbuka puasa kerana bimbangkan anak yang disusuinya itu.
5. Seorang yang mati sebelum sempat mengqadha’ puasanya
6. Seorang yang sengaja menangguh-nangguh qadha’ puasanya sehingga tiba Ramadhan berikutnya dan ia belum menunaikan puasa Qadha’nya. Ia wajib membayar fidyah di samping mengqadha puasanya itu.

Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras).[1] Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya. Memakai pandangan Imam Abu Hanifah ini, Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar) menyebutkan; satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi (ghada’) dan malam (asya’).

Satu fidyah hanya harus diberikan kepada seorang fakir miskin sahaja. Namun jika fidyah itu banyak, maka harus jika hendak diberikan kepada seorang atau beberapa orang fakir dengan syarat bilangan mereka tidak boleh melebihi bilangan fidyah (supaya tidak berlaku satu fidyah diagihkan kepada lebih dari seorang fakir).

Jika orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, maka terhapuslah kewajipan membayar fidyah seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam kitabnya “Tuhfah”. Namun menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib Syarbini; tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang. Jika ia mati sebelum membayar fidyahnya, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya. (Rujuk; Sabilal-Muhtadien, hlm. 768, lihat juga; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 92.
2. Sabilal-Muhtadien, hlm. 768.
3. Al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257.
4. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 353
5. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 449.2.
6. Al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.

Nota Kaki;

[1] Menurut mazhab Syafi'ie; Syarat makanan bagi Fidyah dan Kaffarah menyamai syarat makanan bagi Zakat Fitrah dari segi jenis dan sifatnya. Begitu juga, disyaratkan dalam kewajipan Fidyah dan Kaffarah (sebagai mana zakat fitrah) ada kelebihan dari keperluan diri sendiri dan ahli keluarga termasuklah khadam (merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal). (Rujuk; al-Iqna’, jil. 2, hlm. 353)

Selasa, 2 Oktober 2007

BERNIAGA MAKANAN DI SIANG HARI BULAN RAMADHAN

Soalan; Apa hukum membuka kedai makan pada waktu siang di bulan Ramadhan?

Jawapan;

Puasa di bulan Ramadhan adalah kewajipan dalam Islam yang dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kewajipan ini telah disepakati (ijmak) oleh sekelian ulamak kaum muslimin sejak mula ia disyari’atkan hinggalah ke hari kiamat. Rasulullah s.a.w. telah memberi satu ancaman yang keras terhadap orang yang sengaja berbuka puasa pada siang hari di bulan Ramadhan dengan sabda baginda;

من أَفطرَ يوماً من رَمضَانَ من غَيرِ رُخصةٍ ولا مرضٍ لَمْ يَقضِ عنه صومُ الدَّهرِ كلِّهِ وإِنْ صامَهُ
“Sesiapa berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya”. (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Seorang muslim yang menjual makanan kepada orang yang sengaja tidak berpuasa (tanpa ada sebarang keuzuran atau tegahan) pada siang hari di bulan Ramadhan maka ia turut berdosa kerana ia bersyubahat membantu orang lain melakukan dosa. Jika membantu orang lain melakukan ketaatan diberi pahala, maka membantu orang lain berbuat dosa akan diberi balasan dosa oleh Allah.

Oleh demikian, hendaklah serang muslim yang mengusahakan kedai makan menutup kedainya di siang hari di bulan Ramadhan jika ia mengetahui bahawa yang datang membeli dikedainya ialah orang-orang yang sengaja tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Adapun jika ia membuka kedainya khusus untuk menjual makanan bagi persediaan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa atau menjual makanan khusus untuk kanak-kanak yang belum sampai umur wajib berpuasa, maka hal tersebut adalah harus. Begitu juga, harus ia membuka kedainya khusus untuk menjual makanan kepada orang-orang bukan Islam dengan syarat tidak berterang-terangan di hadapan kaum muslimin yang berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w.;

كُلُّ أُمّتِي معافىً إلا المُجَاهِرِينَ
“Setiap ummatku akan dimaafkan kecuali orang-orang yang berterang-terangan melakukan dosa”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.

BERBUKA PUASA

Soalan: Mana yang terbaik; berbuka puasa sebaik sahaja azan berkumandang atau setelah azan tamat?

Jawapan;

Sedia diketahui bahawa di antara sunat-sunat puasa ialah menyegerakan berbuka iaitu terus berbuka apabila diyakini bahawa matahari telah terbenam dan sunat berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat maghrib.

Tidak wajib orang yang berpuasa menunggu hingga habis azan baru berbuka kerana tempoh berpuasa ialah dari terbitnya fajar hinggalah terbenamnya matahari. Maka apabila telah pasti terbenam matahari, haruslah baginya berbuka. Tidak disyaratkan mendengar azan baru boleh berbuka kerana memastikan matahari terbenam boleh dengan melihat jam atau memerhati kedudukan matahari di kaki langit atau dengan pemberitahuan orang yang dipercayai,yakni tidak semestinya dengan mendengar azan sahaja.

Nabi s.a.w. berbuka puasa sebelum baginda menunaikan solat maghrib kerana baginda sendiri pernah berkata;

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ، وَأَدْبَرَ النَّهارُ، وَغَابَتِ الشَّمْسُ، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
“Apabila tiba malam dan siang berlalu serta matahari telah terbenam, maka tibalah masa berbuka bagi orang berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Umar r.a.)

Barangkali sesetengah orang memandang baik menunggu hingga habis azan (baru berbuka selepasnya) kerana disunatkan orang yang mendengar azan menjawab sebagaimana yang dikumandangkan oleh muazzin. Namun para ulamak menjawab; sunat menjawab seruan azan itu khusus bagi orang-orang yang diseru kepada solat. Adapun orang yang berpuasa mereka diseru supaya berbuka puasa dan menyegerakannya sebelum menunaikan solat maghrib. Dalilnya ialah galakan dari Syara’ sendiri supaya orang yang berpuasa segera berbuka dan begitu juga, Nabi s.a.w. sendiri berbuka terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat maghrib. Para ulamak menegaskan; “Tidak dituntut menjawab kalimah-kalimah azan ke atas orang-orang yang sibuk dengan suatu urusan dari urusan-urusan Syarak”. Malah ada yang menegaskan; “Tidak dituntut ke atas orang yang sedang makan”.

Dari penjelasan tersebut fahamlah kita bahawa tidak wajib orang yang berpuasa menunggu hingga habis azan untuk berbuka puasa. Harus ia berbuka sebaik sahaja azan berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib atau menandakan terbenamnya matahari. Namun sebaik-baiknya, ia berbuka dengan sekadar beberapa biji buah tamar atau seumpamanya, kemudian terus ia menunaikan solat maghrib dan setelah itu barulah ia menyempurnakan makan (dengan menikmati makanan berat).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...