Selasa, 28 Disember 2010

UCAPAN SELAMAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM SEMPENA PERAYAAN MEREKA

Soalan; apa hukum mengucapkan “Selamat menyambut Hari Krismas”, “Selamat menyambut Depavali” dan sebagainya kepada penganut-penganut agama lain apabila tiba musim perayaan mereka?

Jawapan;

Hendaklah dibezakan di antara dua perkara;
Pertama; Sama-sama merayakan perayaan tersebut dengan mereka.
Kedua; Hanya sekadar mengucapkan selamat.

Perkara pertama telah disepakati atas pengharamannya oleh ulamak-ulamak muktabar hari ini.[1] Diharamkan ke atas orang Islam untuk sama merayakan perayaan-perayaan agama orang bukan Islam. Maksud sama-sama merayakan ini ialah turut sama melakukan upacara ibadah atau tradisi khusus yang dibuat oleh penganut agama terbabit sebagai menandakan sambutan bagi hari perayaan mereka. Sila baca jawapan saya tentang kongsi raya (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2006/12/kongsi-raya-harus-atau-tidak.html). 

Adapun perkara kedua, iaitu mengucapkan selamat kepada mereka bersempena perayaan mereka, terdapat khilaf di kalangan para ulamak semasa/kontemporari hari ini;

Golongan pertama; mengharamkannya kerana ia menyerupai orang bukan Islam, seolah-olah mengiktiraf agama mereka dan membantu mempromosi agama mereka. Pandangan ini dikeluarkan ulamak-ulamak aliran Salafi terutamanya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Syeikh Ibnu Uthaimin dan Lujnah Fatwa Arab Saudi sendiri. Sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-: "Sesiapa menyerupai satu kaum, dia adalah dari kalangan mereka". Firman Allah (bermaksus): "Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan".   

Golongan kedua; mengharuskannya kerana ia termasuk dalam pengertian berbuat baik dan mengucapkan ucapan yang baik yang tidak pernah ditegah oleh Allah untuk dilakukan atau diucapkan oleh orang Islam kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi  umat Islam. Pandangan ini dikeluarkan oleh Syeikh Mustafa az-Zarqa, Syeikh Dr. Ali Jum’ah (Mufti Mesir), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Mahmud ‘Akkam (Mufti Halab, Syiria) dan lain-lain. Firman Allah (bermaksud);

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengusir kamu keluar dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtanahah, ayat 8)

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu” (Surah an-Nisa’, ayat 86). Berdasarkan ayat ini, jika seorang muslim mempunyai kawan atau saudara-mara dari kalangan orang bukan Islam yang biasa mengucapkan selamat untuknya pada hari raya Islam atau hari kegembiraan lainnya, haruslah ia membalas ucapan selamat itu bila tiba hari perayaan atau kegembiraannya sebagai bermuamalah dengan yang serupa sebagaimana yang dianjurkan oleh ayat. Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; “Sesiapa dari kalangan makhluk Allah yang mengucapkan salam/selamat untuk kamu, balaslah ucapannya sekalipun ia seorang Majusi  kerana firman Allah tadi” (Tafsir Ibnu Kathir).

Menolak hujjah ulamak-ulamak yang melarang tadi, golongan kedua ini menjawab; sekadar mengucap selamat dan tahniah tidaklah boleh dikatakan kita telah menyerupai penganut agama lain atau merestui agama mereka atau membantu mempromosi agama mereka. Ia tidak lebih dari sekadar menzahirkan penghargaan dan penghormatan sesama manusia, bukan penghormatan kepada agama atau aqidah penganutnya.[2] Diceritakan dalam hadis bahawa pada satu hari lalu di depan Nabi jenazah seorang Yahudi. Nabi lalu bangun menghormati jenazah itu. Para sahabat yang bersama baginda lantas menegur; "Itu jenazah seorang Yahudi, wahai Rasulullah". Baginda lantas menjawab; "Bukankah ia jenazah seorang manusia" (HR Imam al-Bukhari, Muslim dan an-Nasai dari Sahl bin Hunaif dan Qies bin Sa'd). Nabi bangun menghormati jenazah Yahudi itu bukan kerana agamanya, tetapi atas dasar sesama manusia. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam fatwanya; "Ucapan-ucapan tahniah dan selamat yang biasa diucapkan bersempena perayaan-perayaan agama lain itu tidaklah terkandung di dalamnya sebarang pengakuan terhadap aqidah mereka atau kita meredhai agama mereka. Ia hanya sekadar ucapan-ucapan mujamalah (ucapan untuk menzahirkan kemesraan) yang telah menjadi adat sesama manusia".[3]

Kesimpulannya, sama-sama merayakan perayaan orang bukan Islam hukumnya adalah haram mengikut hukum yang disepakati semua ulamak. Adapun sekadar ucapan selamat atau penghargaan sebagai tanda kejiranan atau persahabatan sesama insan, para ulamak berikhtilaf. Ada ulamak mengharuskannya dan ada yang melarangnya. Dalam masalah khilaf, sesama umat Islam hendaklah saling menghormati antara satu sama lain.           

Rujukan

1. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, 1/437, 1/439, 1/452 (al-Maktabah as-Syamilah)
2. Fatawa wa Istisyaraat al-Islam al-Yaum, 4/31 (al-Maktabah as-Syamilah)  
3. Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 3/45 (al-Maktabah as-Syamilah)
4. Fatawa Mustafa az-Zarqa' (Dar al-Qalam)
5. Fatawa Mu'ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Dar al-Qalam, Kuwait dan Qahirah). 

Nota hujung


[1] Termasuk yang mengharamkannya ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Mustafa az-Zarqa.
[2] Lihat; Fatawa Mustafa az-Zarqa', hlm. 356 (Dar al-Qalam, Dimasyq)
[3] Fatawa Mu'ashirah, jil. 3, hlm. 672 (Dar al-Qalam, Kuwait dan Qahirah).
 

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...