Rabu, 31 Mei 2017

ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID?

Apa hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Adakah dilarang sepenuhnya? Atau diharuskan dengan syarat-syarat tertentu?

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie –sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin-; Diharuskan kepada orang-orang kafir untuk memasuki mana-mana masjid selain Masjidil Haram dan masjid-masjid dalam Tanah Haram, dengan syarat mendapat keizinan dari orang-orang Islam. Tidak harus mereka memasuki Tanah Haram dalam apa jua keadaan sekalipun. Adapun masjid-masjid selain Masjidil Haram, harus mereka memasukinya dengan keizinan kaum muslimin. Tidak harus tanpa keizinan kaum muslimin mengikut qaul soheh (dalam mazhab Syafiie) (Rujukan; Raudhatu at-Talibin (Imam an-Nawawi), 1/301).

Larangan orang kafir memasuki Masjidil Haram adalah berdalilkan firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu adalah kotor. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini….” (surah at-Taubah, ayat 28).

Adapun keharusan mereka memasuki masjid-masjid yang lain, adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;

1.      Pernah seorang tawanan yang masih kafir (iaitu Tsumamah bin Utsal) diikat oleh Nabi SAW di dalam masjid, iaitu di salah satu tiang dalam masjid (lihat; Soheh al-Bukhari; 462. Soheh Muslim; 1764/59. dari Abu Hurairah RA).

2.      Nabi SAW pernah menerima kedatangan rombongan Nasrani (Kristian) Najran dan menempatkan mereka di dalam masjidnya. Imam al-Khatib as-Syirbini menjelaskan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj; “Telah tsabit bahawa Nabi SAW pernah membenarkan orang-orang kafir memasuki masjidnya. Perkara itu berlaku setelah turunnya surah at-Taubah (yang melarang orang kafir memasuki Masjidil Haram tadi). Surah at-Taubah diturunkan pada tahun ke 9 hijrah, sedang para rombongan kaum tiba kepada baginda pada tahun ke 10 hijrah. Antara romobongan yang datang ialah rombongan Nasrani (Kristian) Najran. Nabi SAW menempatkan mereka di dalam masjidnya dan berdiskusi dengan mereka tentang isu al-Masih (Nabi Isa AS) dan isu-isu lainnya” (Mughni al-Muhtaj, 4/311).  

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan mazhab Syafiie; orang kafir dibolehkan memasuki masjid dengan syarat-syarat berikut;
1.      Bukan Masjidil Haram dan masjid-masjid dalam Tanah Haram.
2.      Mendapat keizinan dari kaum muslimin, termasuk ulil Amri (pemerintah) dari kalangan mereka.

Wallahu a’lam.

Tambahan (pandangan mazhab-mazhab lain);

1. Menurut Imam Malik; orang kafir tidak harus memasuki masjid melainkan jika ada suatu keperluan. Menurut Imam Abu Hanifah;  hanya orang kafir kitabi sahaja diharuskan memasuki masjid. Adapun kafir musyrik tidak harus memasukinya berdalilkan hadis;

لَا يَدْخُلُ مَسْجِدَنَا هَذَا مُشْرِكٌ بَعْدَ عَامِنَا هَذَا، غَيْرَ أَهْلِ الْكِتَابِ وَخَدَمِهِمْ
“Tidak boleh memasuki masjid kita (bermula) tahun ini orang musyrik kecuali ahli kitab dan juga khadam mereka” (Musnad Ahmad; 14649)

Rujukan; Syarh as-Sunnah (Imam al-Baghawi), 11/82. Ibanat al-Ahkam syarh Bulughul Maram, 1/268. 

Selasa, 30 Mei 2017

ADAKAH PUASA ORANG TAK SOLAT DITERIMA ALLAH?

Soalan; Orang yang tidak mengerjakan solat lima waktu, bagaimana dengan puasanya? adakah sah? dan adakah diterima Allah?

Jawapan;

Dari segi ilmu fiqh, ibadah yang dilakukan dengan memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, ibadat itu dikira sah (gugur kewajipan dari pelakunya dan tidak perlu lagi diulangi). Namun, ibadat yang sah dari segi fiqh, belum tentu diterima Allah (yakni diberi pahala), kerana di dalam al-Quran dan hadis ada disebutkan factor-faktor luaran yang menyebabkan amalan ditolak (tidak diberi pahala). Sebagai contohnya, Nabi SAW bersabda;

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa bertemu tukang tilik, lalu bertanyakan sesuatu (dari tilikan), tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Soheh Muslim; 2230/125. Dari beberapa isteri Nabi RA).

Menurut Imam an-Nawawi; maksud ‘tidak diterima solatnya’ ialah; tidak ada pahala untuknya sekalipun solatnya dikira (iaitu gugur kefardhuan darinya dan tidak perlu lagi dia mengulanginya) (lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 14/227, hadis no. 2230/125).

Khusus berkaitan dengan orang yang meninggalkan solat, Nabi SAW bersabda;

مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ
“Sesiapa meninggalkan solat asar (dengan sengaja), sesungguhnya rosaklah amalannya” (Soheh al-Bukhari; 553. Dari Buraidah RA).

Menurut ulamak; maksud ‘rosaklah amalannya’; batal pahala amalannya (lihat; Minhatul Bari syarh Soheh al-Bukhari, Syeikh Zakaria al-Ansari, 2/268, hadis no. 553).

Jika meninggalkan satu solat sahaja amalan sudah binasa/rosak, bagaimana dengan  meninggalkan kesemua solat. Maka hadis di atas perlu menjadi peringatan kepada orang yang melakukan kebaikan (termasuk puasa) namun enggan solat, kemungkinan besar kebaikan mereka ditolak oleh Allah selama mereka tidak bertaubat (dengan kembali mengerjakan solat).

Apatahlagi puasa diperintahkan Allah dengan tujuan agar orang yang berpuasa bertakwa kepada Allah (lihat; surah al-Baqarah, ayat 183). Tanda ketakwaan yang paling dasar –setelah syahadah- ialah mengerjakan solat lima waktu. Jika kita berpuasa kerana takwa, tidak akan tergamak kita meninggalkan solat kerana kewajipan solat lebih besar dari kewajipan puasa. Di awal surah al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertakwa ialah; ‘Orang-orang yang sentiasa mendirikan solat’ (lihat; ayat 3).

Wallahu a’lam.


Ahad, 28 Mei 2017

5 TIP MENCAPAI PUASA YANG SEMPURNA

Soalan; apa kayu ukur bagi puasa saya, adakah ia sempurna atau tidak? diterima Allah atau tidak diterima?

Jawapan;

Berdasarkan beberapa ayat al-Quran dan hadis, kita dapat menyimpulkan tip-tip (petua) untuk mencapai puasa yang sempurna seperti berikut;
 
1.      Berpuasalah untuk memenuhi tuntutan iman, bukan hanya kerana adat atau kebiasaan berpuasa. Di dalam al-Quran, sebelum Allah menyuruh kita berpuasa, Dia memanggil kita terlebih dahulu dengan panggilan iman iaitu ‘Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa…” (lihat surah al-Baqarah, ayat 183). Nabi SAW juga bersabda; “Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan kerana mengharapkan ganjaran (di sisi Allah), akan diampunkan segala dosanya yang lalu” (Soheh al-Bukhari; 38. Dari Abu Hurairah RA).

2.      Berpuasalah dengan mengharap dan menghitung-hitung pahala di sisi Allah. Nabi SAW bersabda dalam hadis tadi; “Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan kerana mengharap ganjaran (di sisi Allah)…”. Para ulamak mengsyorkan kepada kita agar sentiasa membaca hadis-hadis soheh tentang fadhilat amalan, supaya kita sentiasa mengingati ganjaran yang bakal kita perolehi dari amalan yang kita kerjakan dan itu memberi semangat kepada kita untuk terus beramal dan sentiasa memperelokkannya agar mendapat ganjaran yang sempurna. Khusus tentang puasa, hadis-hadis yang memperkatakan fadhilat puasa cukuplah banyak.

3.      Pelajari tentang hakikat puasa agar kita dapat berpuasa dengan wajah sebenar mengikut yang dikehendaki Allah dan dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Apa sahaja ibadah adalah mustahil untuk kita melakukannya dengan betul dan sempurna tanpa kita mengetahui hakikatnya. Kerana itu para ulamak menegaskan; “العلم يسبق العمل” (ilmu mendahului amal).

4.      Mengetahui tujuan puasa dan berusaha mencapainya. Bagi setiap ibadah, ada tujuan atau sasaran yang disebut Allah untuknya di dalam al-Quran atau al-Hadith untuk kita capai. Solat –sebagai contohnya-, tujuannya ialah mengingati Allah. “Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku” (surah Toha, ayat 14). Apa tujuan puasa? Untuk mencapai takwa. Dalam ayat yang menyebutkan tentang kewajipan puasa tadi (iaitu ayat 183, dari surah al-Baqarah), Allah menegaskan di hujungnya; “…..agar (dengan puasa itu) kamu bertakwa (kepada Allah)”.

5.      Hendaklah menyedari bahawa semasa berpuasa kita sedang berada dalam ibadah. Tempoh puasa adalah panjang iaitu dari mula masuk waktu subuh hinggalah tiba maghrib (terbenam matahari), iaitu kira-kira 13 jam. Sepanjang tempoh itu kita sebenarnya berada dalam ibadah. Maka jagalah ucapan dan tingkah laku kita sepanjang hari berpuasa itu kerana kita dalam ibadah. Nabi SAW sendiri mengingatkan kita; “Puasa itu tidak hanya menahan dari makan dan minum, akan tetapi juga menahan dari ucapan sia-sia dan kotor. Maka jika ada sesiapa mencela kamu atau menjahilkan kamu (jangan kamu membalasnya), akan tetapi jawab kepadanya; ‘Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa’” (Soheh Ibnu Khuzaimah; 1996. Dari Abu Hurairah RA. Isnadnya soheh). Sebaliknya hendaklah kita banyak berzikir, beristighfar dan berdosa semasa sedang berpuasa. Nabi SAW bersabda; “Ada tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka oleh Allah; (salah seorang dari mereka ialah) orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka” (Sunan at-Tirmizi; 3598. Dari Abu Hurairah RA. Hadis hasan).

Wallahu a’lam.

Jumaat, 26 Mei 2017

KADAR MASA SAHUR NABI SAW SEBELUM MASUK SUBUH (berserta AUDIO)

Soalan; berapa kadar masa antara sahur Nabi SAW dan masuk subuh?

Jawapan;

Terdapat hadis dari Anas RA yang menceritakan; Zaid bin Tsabit RA berkata; "Kami bersahur bersama Nabi SAW, kemudian kami mengerjakan solat subuh". Aku (yakni Anas RA) bertanya; "Berapa jarak masa antara azan subuh dan bersahur itu?". Zaid menjawab; "Kadar 50 ayat (al-Quran)" (Soheh al-Bukhari; 1921).

Menurut ulamak; maksud kadar '50 ayat al-Quran' ialah; kadar membaca 50 ayat yang sederhana panjang, dengan kadar bacaan yang sederhana pula (tidak terlalu laju dan tidak terlalu lambat), iaitu kira-kira 5-10 minit sebelum subuh.

Imam Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitabnya Fathul Bari; (قدر درجة أو ثلث خمس ساعة), iaitu kira-kira 4 minit (Fathul Bari, syarah hadis ke 1921). Menurut Syeikh Bin Baz; 5-10 minit. Menurut Syeikh Ibnu Uthaimin; kira-kira 6 minit (berdasarkan pembacaannya sendiri bagi 50 ayat tersebut).

Wallahu a'lam.

Tambahan; dengar rakaman audio; (klik)

Rujukan;

1. PANDUAN KESEMPURNAAN PUASA, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Layari; http://alampenulisan.blogspot.my/ untuk mengetahui buku-buku tulisan Ustaz AHMAD ADNAN FADZIL.



Selasa, 23 Mei 2017

SUAMI MELARANG ISTERI BERBAKTI KEPADA DUA IBU-BAPA? (AUDIO)

Soalan; adakah isteri wajib mentaati arahan suami agar jangan berbakti atau berbuat baik kepada dua ibu-bapanya?

Jawapan;

11 PERSOALAN TENTANG SOLAT QASAR (AUDIO)

1. Apa maksud Qasar?
2. Solat apa yang boleh diqasarkan?
3. Apa hukum mengqasarkan solat ketika musafir?
4. Mana baik antara qasar dan tamam?
5. Apa jenis musafir yang mengharuskan qasar?
6. Berapa jarak musafir yang mengharuskan qasar?
7. Di mana kita boleh mula mengqasarkan solat? Adakah boleh mengqasarkan solat siap-siap di rumah sebelum keluar bermusafir?
8. Bolehlah solat qadha diqasarkan?
9. Berapa tempoh/hari dibolehkan mengqasarkan solat?
10. Bila masa hendak berniat qasar?
11. Adakah dibolehkan melakukan solat qasar berjamaah?

Jawapan;

Rakaman 3
Rakaman 4

Rakaman adalah dari program diskusi buku "PANDUAN SOLAT QASAR & JAMAK" (buku poket), tulisan USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL, di Surau Imam Syafiie, Taman Jali, Kangar, Perlis (Ahad, 14 Mei 2017, 9-11 pagi).
layari; http://alampenulisan.blogspot.my/ (untuk mengetahui buku-buku tulisan USTAZ ADNAN)

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...